pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    SYED KHAIROL ANUAR DILANTIK PEGAWAI KEWANGAN NEGERI KEDAH BAHARU

    ALOR SETAR (26 SEPTEMBER 2023): Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berangkat ke Istiadat Majlis Pengurniaan Tauliah Pelantikan Pegawai Kewangan Negeri Kedah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

    Sultan Kedah berkenan di atas lantikan Dato’ Syed Khairul Anuar Syed Abidin sebagai Pegawai Kewangan Negeri Kedah (SFO) mulai 26 September 2023, menggantikan Dato’ Wira Isahak Murat yang telah menabur jasa berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Negeri sejak tahun 2018 dan bersara wajib mulai 25 September 2023.

    Hadir sama Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Sheikh Fadhil Awang; Dato’ Seri Maharaja Lela, Dato’ Bijaya Indera Dato’ Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah; Penasihat Undang-undang Negeri Kedah, Dato’ Nik Azhan Hakim Nik Mahmood; Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Abd Rahman Abdullah dan Pengerusi SPA Negeri Kedah, Dato’ Mohamad Che Nai.

    Dato’ Syed Khairol Anuar Syed Abidin merupakan anak kepada pasangan Allahyarham Syed Abidin Syed Ali dan Allayarhamah Tumpah Fatimah Syed Mansor dilahirkan pada 22 Mac 1966 di Bukit Pinang, Alor Setar. Beliau merupakan anak bongsu daripada lima orang adik beradik dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Hutan Kampung. Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kepala Batas dan Kolej Sultan Abdul Hamid. Pada tahun 1989 beliau telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dan telah lulus dengan jayanya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Kependudukan di Universiti Malaya (UM). Seterusnya, pada tahun 2003 beliau telah meneruskan pengajian secara sepenuh masa di Universiti Sains Malaysia (USM) dan berjaya dianugerahkan Sarjana Sains Perumahan, Bangunan & Perancangan (M.H.S.B.P) (USM).

    Beliau telah mendirikan rumah tangga pada tahun 1995 dengan Datin Mahfuzah Mat Desa yang merupakan seorang pegawai awam pentadbiran Negeri Kedah. Hasil daripada perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Syed Muhammad Imran, Syed Muhammad Syahir, Syarifah Salsabila Husna dan Syed Muhammad Zharif.

    Memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kedah pada 16 April 1992. Sepanjang tempoh 31 tahun perkhidmatan beliau dalam pentadbiran awam Negeri Kedah, beliau telah menjawat pelbagai jawatan di jabatan-jabatan seluruh Negeri Kedah. Antara jawatan-jawatan yang pernah beliau sandang ialah Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Pejabat Daerah Padang Terap, Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah (Pembangunan Tanah), Penolong Setiausaha Kerajaan (Bahagian Perumahan), Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Setiausaha Bahagian Perumahan, Yang Dipertua PBT Kulim Hi Tech Park, Pegawai Daerah Pendang, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan jawatan terakhir beliau sebelum dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan).

    Sepanjang kerjaya Syed Khairol , beliau telah dihantar untuk menghadiri pelbagai kursus serta latihan di dalam dan di luar negara bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan sebagai seorang penjawat awam. Antara kursus dan latihan yang dihadiri oleh beliau adalah “Outward Bound School” di Lumut Perak pada tahun 1992 dan Kursus Latihan Belajar di bawah “Friendship Programme For The 21st Century” anjuran kerajaan Jepun pada tahun 1997. Kecemerlangan beliau dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam juga terbukti apabila beliau telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2009 dan tahun 2021.

    Sumbangan bakti beliau tidak hanya terhad kepada bidang pentadbiran semata-mata. Beliau turut aktif terlibat dalam badan bukan kerajaan terutamanya dalam pembangunan sukan bola sepak di Negeri Kedah. Beliau pernah dipertanggungjawabkan untuk menjadi Pengurus Pasukan Piala Presiden Negeri Kedah (2003 – 2005), Pengurus Bola Sepak SUKMA Negeri Kedah (2006), Penolong Pengurus Pasukan Bola Sepak Negeri Kedah (2006 – 2013), Pengurus Pasukan Bola Sepak Negeri Kedah (2018 – 2019) serta pernah dilantik sebagai Ahli Majlis FAM dan Majlis Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah. Selain itu, beliau juga turut bergiat secara aktif dalam Pertubuhan Jemaah Dato’-Dato’ Negeri Kedah.

    Di atas sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam, masyarakat serta negeri, Dato’ Syed Khairol Anuar telah dianugerahkan Bintang Perkhidmatan Cemerlang Kedah (B.C.K) pada tahun 2003, Ahli Semangat Jerai (A.S.K) pada tahun 2008, Darjah Ahli Mahkota Kedah (A.M.K) pada tahun 2009 dan Darjah Ahli Setia Diraja Kedah (S.D.K) pada tahun 2021. Pada tahun 2022, Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Yang ke-80 tahun, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Bintang Dato’ Setia Diraja Kedah (D.S.D.K) yang membawa gelaran Dato’.

    Sumber : Facebook – Warta Kedah

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT