pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    SUSURI SUNGAI MERBOK IMBAS KEMBALI ZAMAN KERAJAAN KEDAH TUA

    MERBOK (31 JANUARI 2024) – Bagi seseorang yang cintakan kehijauan dan sukakan pemandangan indah menikmati panorama laut dan matahari terbenam, sudah pasti teruja merasai pengalaman menyusuri Sungai Merbok.

    Terkenal sebagai laluan pedagang melalui pelabuhan entrepot semasa pemerintahan Kerajaan Kedah Tua suatu ketika dahulu, sudah pasti meninggalkan kesan mendalam kepada pencinta sejarah mengenai pengkisahan pelaburan besi Tamadun Awal Asia Tenggara di Sungai Batu.

    Penerokaan menyusuri Sungai Merbok melalui pakej perkhidmatan bot disediakan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) melalui bot katamaran yang diberi nama Mahawangsa I dan Mahawangsa II, seolah-olah menggamit ingatan tentang mitos Hikayat Merong Mahawangsa yang pernah dikaitkan di kawasan itu.

    Perjalanan menyusuri sungai yang mengambil masa sejam 30 minit itu turut melalui tiga buah pulau yang diberi nama Pulau Tiga yang juga berdekatan tapak istana lama.

    Bagi memperingatinya, satu replika gok telah dibina MPSPK berdekatan Jeti Semeling sebagai simbolik kepada aktiviti berkenaan.

    Ketua Bahagian Pelancongan MPSPK, Mohd Farid Ismail berkata, Sungai Merbok yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti hutan bakau mempunyai 40 jenis spesies bakau paling banyak di dunia berbanding keseluruhan bakau dunia sebanyak 60 jenis.

    Menurutnya, kawasan ini juga disenaraikan sebagai geopark kerana mempunyai tapak warisan geologi yang dibangunkan secara lestari sebagai geopelancongan.

    “Tidak boleh dinafikan, tarikan utama di daerah Kuala Muda sudah pasti Sungai Batu yang mana penemuan artifak membuktikan kewujudan pusat pentadbiran, tapak ritual, tapak peleburan besi dan pelabuhan kuno serta tersembunyi 1,001 khazanah bernilai,” katanya.

    Jelasnya, kedudukan Gunung Jerai juga merupakan simbol kemegahan Kerajaan Kedah Tua yang dapat dilihat ketika menyusuri Sungai Merbok.

    Menurut Mohd Farid, bagi menambah pengetahuan pengunjung, MPSPK telah membina tiga buah galeri iaitu Galeri Kedah Tua, Geopark dan Biodiversiti di Jeti Semeling.

    “Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati keindahan panorama matahari terbenam sekiranya memilih pakej pada sebelah petang,” ujarnya.

    Katanya, setiap pelancong tempatan dikenakan tiket sebanyak RM20 bagi dewasa manakala pelancong antarabangsa pula dikenakan sebanyak RM35 dan boleh ditempah lebih awal untuk memudahkan pergerakan.

    “Kita juga sedang merancang pelbagai aktiviti lain untuk menambah baik pakej ini termasuk aktiviti memberi makan burung helang seperti yang terkenal di Pulau Langkawi,” ujarnya.

    Sumber : Sinar Harian

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT