pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    HARGAI DAN TEGUHKAN PERPADUAN BAGI MELAHIRKAN JIWA MERDEKA – SANUSI

     

    ALOR SETAR (01 Ogos 2024) – Usia kemerdekaan tanah air kita pada tahun ini sudah menjangkau 67 tahun. Kemerdekaan bererti kita bebas daripada belenggu penjajahan. Kemerdekaan bererti kita menguruskan sendiri pentadbiran negara kita, menentukan sendiri halatuju kehidupan rakyat kita tanpa sebarang campur tangan pihak luar.

    Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata hargailah nikmat kemerdekaan dan hargailah nilai perpaduan. Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya. Oleh kerana itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan negara ini dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad dan nyawa menjadi galang-ganti.

    “Malaysia ini satu-satunya tanah air yang kita ada, maka itu cintailah ia dengan sepenuh hati kerana tidak akan ada tanah air yang kedua untuk diri kita hingga akhir hayat.

    “Teguhkanlah perpaduan, permuafakatan, persefahaman dan sikap saling menghormati untuk kekal utuh, jitu dan padu kerana itulah satu-satunya cara untuk kita memastikan kita akan dapat terus hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Hanya dengan keamanan Kerajaan akan dapat menjayakan agenda pembangunan negeri dan negara secara mampan.

    “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pahlawan-pahlawan kita yang telah berkorban nyawa demi tanah air yang tercinta ini sejak dahulu hingga selepas merdeka. Jasa kalian sentiasa dikenang,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan di majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Dan Pelepasan Kembara Jiwa Merdeka Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2024 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri merangkap Pengerusi Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Kembara Jiwa Merdeka, Dato’ Mohd Azam Abd Samat; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Zuber Ahmad; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa.

    Terdahulu dalam ucapan aluan, Mohd Azam berkata pada tahun ini Konvoi Kembara Jiwa Merdeka melibatkan hampir 50 buah kenderaan mewakili jabatan/agensi negeri, sebagai simbolik bermulanya aktiviti Kembara Jiwa Merdeka akan menjelajah di kesemua 12 daerah di Negeri Kedah bagi memeriahkan kempen kibar jalur gemilang.

    “Inilah unik dan istimewanya Bulan Kebangsaan ini, kita dapat menyaksikan penyertaan seluruh rakyat mengibarkan Jalur Gemilang di merata-rata tempat seperti kawasan perumahan, kediaman, pejabat, sekolah dan melihat suasana sebegini menaikkan semangat patriotisme dalam diri kita untuk meneruskan perjuangan dalam mengekalkan kebebasan yang dikecapi sejak 31 Ogos 1957.

    “Sempena pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang pada hari ini, ingin saya ingatkan, masih ada segelintir dalam kalangan kita yang tidak merasa segan silu mengibarkan bendera yang lusuh dan koyak atau meletakkan Jalur Gemilang di tempat yang tidak sepatutnya. Saya percaya rakyat di Negeri Kedah yang teguh bersama adab dan adat mempunyai semangat patriotisme tinggi bagi memberi cerminan kepada semangat sebenar rakyat Negeri Kedah.

    “Justeru, marilah kita bertekad untuk menerap mentaliti dan sikap masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah di mimbar merdeka ini. Janganlah kita mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti dan imej negara,” ujarnya.

    Sumber : Warta Kedah

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT