ALOR SETAR (17 Oktober 2024) – Remaja merupakan aset negara dimana kejayaan sesebuah negara pada masa hadapan adalah terletak pada kualiti dan jati diri generasi remaja dalam memimpin masyarakat ke arah kejayaan.
Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah kesedaran masyarakat dalam pemerkasaan identiti dan jati diri remaja mampu memberi implikasi kepada usaha mempergiatkan lagi sistem pendidikan negara dimana pendidikan merupakan medium terpenting dalam membangunkan potensi manusia dan seterusnya menghasilkan modal insan yang memenuhi ciri-ciri yang diperlukan dan meningkatkan peradaban bangsa yang pelbagai di Malaysia.
“Perkembangan semasa remaja haruslah diteliti semula dan ditangani dengan bijaksana memandangkan kes kecelaruan identiti yang dihadapi oleh remaja masa kini cukup membimbangkan dan ini mengancam nilai, perilaku, pemikiran, kepercayaan dan cara hidup seseorang.
“Selain itu, golongan remaja perlu menanam sifat bertanggungjawab ke atas diri sendiri dimana ia mampu mewujudkan motivasi dalaman agar mereka sendiri ingin mengubah diri tanpa perlu bergantung pada orang lain. Golongan ini juga harus menggunakan akal yang waras dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan bantuan dan bimbingan daripada guru-guru, ibu bapa dan orang yang lebih berpengalaman.
“Dalam meningkatkan prestasi pembelajaran, golongan ini harus harus berdisiplin ketika proses pembelajaran dan mempunyai kesedaran diri agar dapat menguasai ilmu pengetahuan dengan lebih baik. Proses pembelajaran juga hendaklah dilakukan secara menerus dan dijadikan sebagai sebuah rutin. Penumpuan ketika belajar juga turut mempengaruhi dalam memahami topik yang dipelajari.
“Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam menonjolkan keterampilan dan sahsiah yang baik dan unggul agar anak-anak dapat mencontohi keperibadian yang ditonjolkan. Ibu bapa perlu prihatin dengan pergaulan anak-anak agar mampu mengelak anak-anak bertingkahlaku yang negatif hasil daripada pengaruh rakan.
“Ibu bapa juga perlu peka dengan isu yang berlaku di sekeliling anak-anak sama ada unsur budaya mahupun arus media massa terutamanya dari Barat yang kini agar sukar dibendung. Ibu bapa perlu bijak mengawal agar tidak mempengaruhi perkembangan mental dan sahsiah anak-anak,” titah Baginda.
Berangkat hadir sama Sultanah Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan isteri Datin Seri Norhasni Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama dan Komunikasi dan Penerangan, Mohd Azam Abd Samad; Pegawai Daerah Kota Setar, Dato’ Hakim Ariff Mat Noor; Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Mahadhir Ismail, Pengetua SMJK Keat Hwa, Ching Kang Beng dan Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Chong King Soon.
Sumber Berita : Warta Kedah